Tuesday, 4 June 2013

Kurang dari 14 hari.

Kita sudah tidak banyak masa !
Mari peluk erat-erat.
Biar rapat sampai tulang rusuk berlaga kiri kanan.
Sampai terhasil parut luka pada bahu yang kita genggam.
Supaya ini yang akan di ingat sampai mati.
Detik pertemuan kita yang bakal diragut kurang dari 14 hari.
Sedu sedan ini,
gelak tawa ini,
esak tangis ini,
muka jelik ini,
pekik lolong ini,
ingat sampai mati.
Kawan juga sampai mati.

Sunday, 2 June 2013

Kematian

Semalam aku berselisih dengan kematian. Dia katakan, "Hai, kau bersedia?" Aku musykil dengan pertanyaan yang agak meremangkan bulu tengkuk. Jawapan aku mestilah belum. Tapi kenapa aku perlu berselisih dengan kematian? Kematian cuba mendekatkan badannya pada aku. Mendepakan tangan, dan aku melangkah tiga langkah ke belakang dengan pantas. "Jangan ! Kita bukan muhrim." Tegas aku. Kematian memandang ke atas dengan muka paling konfius. Aku cuba menarik nafas lega. Tapi semakin lama, semakin kencang degupan jantung yang aku rasakan. "Kenapa aku berdebar? Kau tak lah hensem mana? Tapi, kenapa aku berdebar ni?" Tanya aku penuh cemas kepada kematian. Kematian merenung mata aku seperti sedang merenung anak kecil. Dia senyum. Jelas lesung pipitnya di pipi kiri. " Aku tak tahu. Aku cuma mahu kau. Sudi atau tidak, aku mahu kau." Kematian mendepakan tangannya dan terus merangkul tubuh kecil molek aku dan dalam sekelip mata aku hilang dalam satu kegelapan yang lebih legap dari perigi buta di tengah malam. Sekarang aku disisi kematian. Dia rangkul aku erat. Makin lama makin erat dan makin ketat. Air mata kematian gugur. Begitu juga aku...Maaf Encik Syukri. Hari ni saya tak sempat masuk kerja. Juga hari-hari mendatang. Maaf ya.

Saturday, 1 June 2013

Perasaan ini aku kuburkan. Pt. 2.

Aku tidak terlalu bodoh untuk mengelar tangan disebabkan rindu.
Tapi, tampak paling bodoh kalau aku terus merindu sosok yang tak pernah wujud dalam hidup aku.
Masih lagi aku sedang mengambus tanah pada perasaan yang aku kuburkan semalam.
Hujan lebat. Kerja jadi payah. Makan masa.

Haha...bodohnya yang ini. -__-

Thursday, 30 May 2013

Perasaan ini aku kuburkan.

Kita takkan pernah kalah untuk berpaling muka.
Walau mata sudah bertentang mata,
tembok khayalan muncul tiba-tiba.
Walau dalam mimpi kita bersua,
takkan pernah betah untuk bicara.
Sepatah pun berat untuk kita ungkap,
apatah lagi bergurau senda.

Perasaan ini aku kuburkan,
kerana ianya cuma sia-sia,
pembaziran paling besar pernah aku tanggung,
untuk kehidupan yang sederhana.

R.I.P.
Mari move on.

gambar ehsan Tumblr

Monday, 20 May 2013

Babi yang mahu dilahirkan semula.

Jamal putus cinta. Dia merasakan dirinya tidak lagi berguna. Dia mencapai sebatang Surya dan meneruskan pemanduan ke sebuah pantai yang dinamakan Air Plywood. Dengan niat untuk terjun laut dan mati dan dihidupkan semula sebagai Zayn Malek yang menjadi kegemaran gadis-gadis. Tapi, sebelum sempat bulu romanya menjamah air laut, Jamal mematikan hasratnya serta merta setelah melihat pantai tersebut dipenuhi dengan bai-babi terdampar yang putus cinta, putus harapan. Fikir Jamal, jika dia juga bunuh diri, adakah dia juga setaraf babi? Jamal memanaskan semula enjin kereta dan memandu ke apartmen nya semula lalu melupakan hasrat menjadi Zayn Malek. Apa yang Jamal tidak tahu, antara babi-babi tersebut, terselit bekas kekasihnya, Tasya yang ingin dilahirkan semula menjadi Miranda Kerr yang sering Jamal sebut-sebut sebelum perpisahan mereka.

Tuesday, 16 April 2013

Sebab dia..


Sebab dia cintakan puisi,
dia gagahkan diri,
bermusafir ke lain negeri.
Sebab dia cintakan puisi,
sampai warga Indon yang ajar dia naik LRT.

Sebab dia cintakan puisi,
dia berdiri di Dataran Ipoh, cuba mendeklamasi.
Sebab dia cintakan puisi,
dia menyayangi jiwa-jiwa asing yang baru dikenali.

Sebab dia cintakan puisi,
dia mengorek rahsia diri sendiri.
Sebab dia cintakan puisi,
dia cuba memecahkan ruang yang sering membelenggu ketakutan diri.

Kalau lah cinta semudah ini, semudah itu ini, semudah ABC...
Semudah menghirup kopi...
Semudah mencaci maki...

ok, merapu..jadi?
Rinduuu...


Aman Jaya
Rumah Aiman
Khizanat
Gerai makan
Dataran Ipoh
Stesen KTM

Jumpa lagi..

Monday, 1 April 2013

Rabak

Si jejaka menelefon dia malam tadi. Setelah tiga tahun menyepi. Ya, dia setia dengan Celcom 5 tahun sudah. Sebab itu si jejaka berjaya menelefon dia. Si jejaka berbicara penuh madah. Ayat lelaki tipikil untuk bekas teman wanita...yada..yada..yada..Dan dia bertanya..

"Kau baru break-up."-tanya dia ringkas.
"Yes I am. But, please.."-jawab si jejaka.

Dia menamatkan panggilan dan sambung tidur.

"Ding!"
Bunyi mesej masuk. Dari si jejaka tadi. Mesej yang berbunyi.

"Please, let me explain. I know we have something in common. At least something. Pleasee.."

Dia membuka cover belakang Samsung Galaxy "Muda" nya lalu dicabut bateri. Dia sambung tidur sambil menekup bantal ke muka. Dirasakan basah. Yang bermain difikirannya cuma, 

"Kalau ini ayat untuk tiga tahun lalu, mungkin masih boleh aku pertimbangkan. Tapi untuk sekarang, ianya cuma sampah paling kotor."

Dia tidur. Tapi Tuhan saja tahu kondisi dia sehingga dia bangun keesokannya memikirkan apa bakal terjadi jika dia memasang semula bateri ke telefon pintarnya.

Tamat.