Thursday, 31 January 2013

Sisipan Sastera Untuk Arjuna Perindu

Aku buatkan kau ini. Satu sastera bagi arjuna perindu. Aku sisipkan diruang jendela.
Nanti bila tenang, kau buka dan baca. Ya?
Bila malam kau buka sisipan sastera itu. Maka terbanglah sepuluh pari-pari comel yang membawa
pelbagai warna dalam cahaya. Berdendanglah mereka.

Dendangan bukan dengan lagu cinta. Tetapi, irama yang kedengarannya bahagia.
Dialun dengan serunai dan gambus dari Syurga. Berterbanganlah fizikal nipis not-not bahagia.
Not-not membentuk zarah-zarah baru. Terbentuk satu jasad yang menghampiri sempurna.
Jasad yang aku namakan 'Aku'.

Kau tarik tangan Aku dengan tangan kanan kasarmu berlapikkan sehelai sutera yang Aku bawa. Bergelumang dengan melodi bahagia dari pari-pari, kita berlari ke satu sudut dan mula menari.
Walau langkah Aku pincang, kau tetap sabar memberi ajar.

Berdenting masa. Loceng menggoncang gegendang telinga. Dan sudah tiba hujungnya.
Aku pergi dan bercerai menjadi not-not tadi. Pari-pari bergegas menyusup ke sisipan sastera.
Membawa sekali kesemua cahaya gembira. Jika kau punya sayang, kau nampak, Aku sedang melambai sayu.
Tetapi, aku sempat menghulur tangan, mencampak sejenis rasa Rindu. Bersama sedikit Harapan.
Kedua-dua nya terus pipih melayang ke dasar hati kau yang paling terdalam. Dos nya Aku beri lebih. Kedua-duanya akan buat kau gian. Akan buat kau selalu ingin sastera ini datang menjengukmu.

Suatu hari nanti, bila kita sama-sama bersedia, Aku bawa sisipan sastera baru.
Juga memperbaharui rasa Rindu dan Harapan itu.



No comments:

Post a Comment